mari kita ikuti cerita Datuk Dr. Ibrahim Ghaffar…
Untuk
mengetahui bahagian 1 cerita ini sila klik link dibawah…
Bahagian 2
Tanyalah apa saja peristiwa lampau,
sama ada tentang Kesultanan Melayu Melaka. Tentang Hang Tuah lima sahabat? Atau
apa saja yang menjadi persoalan dalam sejarah. Ibrahim ada jawapannya!
Sebab itu bila ada pihak mempertikai
kewujudan Hang Tuah, Ibrahim tampil lantang berusara. Kerana dia masih ingat
pesan Tuah yang berkata: ''Jangan sesekali cucu dan anak cucu yang lain
berfikir atau mengatakan bahawa Sultan Melaka tidak pernah ada. Begitu juga adinda
dan sahabat-sahabat.''
Lagi satu penjelasan Tuah dalam
pertemuan mereka berkata: ''Yayi tidak pernah membunuh sahabat yayi, si Jebat.
Tidak sekali-kali!''
Beliau ditanya, siapa yang bunuh
Jebat? Bukankah dalam sejarah tertulis Tuah bunuh Jebat kerana derhaka terhadap
sultan?
Tidak! Itu bukan kisah sebenar.
Begini ceritanya. Tuah dan Jebat bertikam berhari-hari kerana mereka
'bergurau', melepaskan rindu setelah sekian lama terpisah angkara kedua-duanya
menjadi mangsa fitnah.
''Jika benar yayi mahu bunuh Jebat,
mengapa perlu menutup semua langsir dan tingkap istana? Bukankah lebih baik
rakyat jelata melihatnya?'' cerita Tuah.
Tikam menikam itu sengaja kedua-dua
sahabat itu dipanjangkan berhari-hari kerana tujuannya mahu mengumpulkan
orang-orang besar istana yang telah memfitnah mereka.
Apabila kesemua mereka sudah tiba,
lalu Tuah melukakan sedikit jari kelengkeng Jebat dengan keris raja yang
dibawanya pada waktu pagi agar darah mudah keluar.
Lalu luka itu dibalut, agar tampak
memang sengaja dilukakan. Kemudian, Jebat pun mengamuk. Namun, sebenarnya yang
diamuk Jebat hanya orang-orang tertentu yang telah melempar fitnah terhadap
mereka berdua.
Setelah tiga hari mengamuk dan orang
yang dikehendakinya sudah dihapuskan, lalu Jebat datang kononnya menyerah diri
ke rumah Tuah.
''Lalu hamba isytihar kepada rakyat
Melaka. Di ambang pintu, di mata tangga kesembilan, wahai rakyat negeri Melaka,
tuanku perintahkan aku membunuh si penderhaka ini. Maka akulah yang berhak
menguruskan bangkainya,'' cerita Ibrahim seperti yang disampaikan Hang Tuah
kepadanya.
Jelas Ibrahim: ''Tujuan dia berbuat
begitu untuk menjauhkan orang ramai. Lalu Tuah bawa Jebat masuk ke rumahnya.
Sempat Jebat mandi, bercukur dan makan bersama sahabatnya itu.
''Jebat diberi persalinan baru.
Menggunakan identiti baru, Jebat membawa diri ke Langkawi, membantu kerajaan
Langkasuka waktu itu. Sedangkan Tuah pula keluar dari rumahnya menatang
kononnya jenazah yang dibungkus dan dikebumikan sebagai tanda Jebat sudah mati
di mata rakyat.''
Oh! Begitu rupanya. Lalu Mastika
tanyakan lagi soalan lain. Perihal Tun Teja, Puteri Hang Li Po, Puteri Gunung
Ledang, Keris Taming Sari dan pelbagai soalan lain. Semua ada jawapannya!
Jawapan yang disahihkan sendiri oleh Hang Tuah, menurut kata Ibrahim. Terlalu
panjang hendak ditulis di sini.
Mastika tanya lagi, benarkah Tun
Tuah menghilangkan diri setelah mencampak Keris Taming Sari ke Sungai Duyong?
Dalam senyum Ibrahim menjawab: ''Ya.
Dia 'mengghaibkan' diri. Ghaib dalam istilah sebenar, menukar identiti
dirinya.''
Setelah Jebat kononnya dibunuh, di
depan rakyat Melaka, Tuah berkata, ''Aku campakkan Taming Sari yang telah
membunuh sahabatku ini ke Sungai Duyong. Jika ia timbul, aku tetaplah di sini.
Tetapi jika tenggelam, maka aku pun akan pergi selamanya.''
''Sebenarnya, ia adalah satu alasan
yang dicipta Tuah sebagai syarat atau alasan untuk mengundurkan diri kerana
tidak mahu lagi jadi laksamana. Sudah tentu keris iaitu besi akan tenggelam
dalam air. Inilah alasan untuk Tuah berundur dan 'ghaib' dari identiti
sebenarnya.''
Mengapa? Beliau ditanya lagi.
''Kerana kata Tuah, dia tidak mahu
lagi berkhidmat dengan sultan yang beraja di mata, bersultan di hati,'' jawab
Ibrahim.
Jadi, selepas 'bersara', Tuah hidup
seperti rakyat biasa? Ibrahim mengangguk.
Di Melaka? Ibrahim angguk lagi.
Ibrahim tetap angguk kepala sambil
berkara: ''pernah disebut, Tuah berkata... tidak akan kutinggalkan negeri
bertuah ini, Aku akan lahir dan mati di sini. Ya, di bumi Melaka itulah dia
lahir dan mati. Malah, nasab keturunannya juga berkembang. Ada di serata tempat
kerana Tuah itu mempunyai tiga orang isteri.''
Jadi, di mana kuburnya? Beliau terus disoal. Tunjukkanlah kepada kami makam pahlawan terbilang itu.
Ibrahim tertawa dan menjawab:
''makamnya ada di Melaka. Maaf, buat masa ini belum dapat 'izin' Tuah untuk
menunjukkannya kepada umum.''
Jebat dan Kasturi
Pertemuan dari dua alam berbeza itu
tidak berakhir. Malah, sehingga kini Ibrahim akui masih terus 'berhubung'
dengan Hang Tuah dan Melaka menjadi pusat kebanyakan 'pertemuan' mereka itu.
"Sesekali bila ada perkara yang
hendak disampaikan, Tuah akan 'panggil' saya datang. Walaupun saya orang
sastera, kadangkala saya terpaksa buka kamus kerana tidak faham dengan
perkataan lama yang digunakan oleh laksamana terbilang itu," ujar Ibrahim.
Sepanjang lebih 20 tahun 'perkenalan
mereka, bukan hanya Hang Tuah, namun Ibrahim turut pernah berjumpa dengan empat
sahabat lain iaitu Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu.
"Kesemua sahabat ini air
mukanya tenang-tenang. Jika Hang Tuah itu kulitnya kuning langsat. Rambutnya
sedikit panjang mencecah bahu. Usianya kalau dibandingkan dengan manusia dalam
60 tahun. Tidak nampak muda dan tidak nampak tua juga. Badannya sasa, dada
terbuka. Matanya sangat tajam. Bila berbicara, pandangannya melirik tajam.
"Tinggi Tuah dalam anggaran
tujuh kaki. Saya kena dongak kepala untuk melihatnya. Halkumnya besar. Memakai
semutar dan sehelai kain disangkut pada bahu kanan. Selalunya dia memakai baju
putih tidak berbutang, berseluar paras betis dan bercapal seperti orang zaman
dulu." kata Ibrahim menggambarkan rupa Hang Tuah.
Selalunya dalam pertemuan mereka,
yang sering menemani Tuah adalah Hang Jebat di sebelah kanan dan Hang Kasturi
di sebelah kiri. Hang Jebat, kulitnya gelap sedikit. Tubuhnya sedikit kurus dan
tidak terlalu tegap berbanding Tuah. Manakala Kasturi pula, orangnya sangat
lembut dan pendiam. Hanya akan bersuara bila ditanya.
"Lekir dan Lekiu jarang saya
jumpa. Lekir juga agak pendiam, kulitnya lebih gelap namun badannya tegap.
Manakala si Lekiu pula seorang yang suka mengusik sahabat yang lain. Namun,
keempat-empat mereka amat hormat pada Tuah. Apa dikata Tuah, mereka akan jawab
"Ya kanda"
"Malah saya pernah dipertemukan
dengan bonda Tuah iaitu Dang Merduwati dan turut dihadiahkan sebilah keris,
cerita Ibrahim lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan