Adakah Hang Tuah itu wujud…kalau benar
wujud bagaimana rupa beliau ?? Ini ada kisah yang diambil dari pengalaman Datuk
Dr Ibrahim Ghaffar yang mendakwa pernah dipertemukan
dengan Laksmana Hang Tuah ketika beruzlah di Batu Ciputih….mari kita ikuti kisah
beliau…
Datuk Dr. Ibrahim Ghaffar, Ahli
Bersekutu Persatuan Sejarah
dan Warisan Melayu Duyong (PESAWAD)
(yang bertemu Hang Tuah di Pulau
Ciputih)...
November 1987...
Sesudah solat Asar, lelaki itu naik ke
dalam sampan. Mujur nelayan tua itu sudi membantunya. Menghantarnya ke sebuah
pulau yang menjadi 'kawasan larangan'.
Dia harus ke sana. Kembaranya dengan
beruzlah selama ini memberi petunjuk, di pulau tidak berpenghuni itulah dia
akan temui jawapan yang dicari-carinya.
Petang hari Ahad, berjayalah lelaki itu
menjejakkan kakinya di pulah tersebut. Lantas, dia mencari tempat yang sesuai
menyambung uzlahnya. Sebongkah batu besar menghadap ke gigi laut dipilih. Atas
hamparan batu itulah dia duduk terus mengkhusyukkan diri ke hadrat Ilahi.
Sekadar kurma dan kismis sebagai pengalas perut.
Waktunya banyak dihabiskan dengan amal
ibadah. Solat hajat, taubat dan istikharah tidak ditinggal. Sehinggalah pada
malam kedua di pulau itu, lebih kurang pukul 2.00 pagi. Sewaktu dia sedang
berwirid....
''Assalamualaikum...'' Salam itu tidak
berjawab. Lelaki itu tergamam. Terperanjat, takut dan menggigil melihat susuk
'laksamana' dihadapannya itu.
Kali kedua salam diberi. Pun sama.
Lelaki itu masih terfana. Perasaannya bercampur-baur hingga lidahnya kelu untuk
berkata. Kali ketiga, salam diberi lagi sambil 'laksamana' itu menghulur
tangan.
Barulah lelaki itu mampu menjawab
salam. Pantas dia menyambut huluran tangan yang diberi. Sejuk rasanya tangan
'laksamana' tatkala bersalaman sambil mencium tangan itu. Aroma wangian kasturi
menusuk hidungnya.
Selepas melepaskan genggaman tangan,
lantas 'laksamana' itu menepuk lembut bahunya. Barulah lelaki itu tersentak.
Terasa tenang semula dan lancar berkata-kata.
''Yayi bernama Hang Tuah. Yayi datang
melihat cucu di sini,'' akhirnya dia memperkenalkan diri.
''Terima kasih kerana laksamana sudi
datang,'' balas lelaki itu. Hatinya terasa sebak,
Pertemuan mereka malam itu tidak lama.
Sekadar bualan biasa. Bermacam-macam soalan hendak ditanya lelaki itu, namun
jawab Tuah yang membahasakan dirinya sebagai yayi (kiai).
''Yayi tahu apa yang cucu cari.
Sabarlah. Jangan tinggal solat dan wirid!'' Sebelum subuh menjelma, mereka pun
berpisah.
Keesokan malam, Tuah datang lagi
menjenguknya. Pertemuan malam kedua itu, barulah laksamana terbilang itu
menceritakan sedikit akan nasib keturunannya.
''Yayi bernama Hang Tuah, anakanda
kepada bonda yayi iaitu Dang Merduwati atau Dang Merdu. Ayahanda yayi bernama
Hang Mahmud. Yayi lahir di kampung Duyong, Melaka dan membesar di Bentan,''
tuturnya dalam bahasa lama.
Perbualan mereka terus berkisarkan
nasab, salasilah, kedaulatan dan kehebatan zaman kedaulatan dan kehebatan zaman
kesultanan Melayu Melaka. Pertemuan mereka bersambung hingga malam ketiga.
Segala persoalan terjawab. Lelaki itu mendapat jawapan yang selama ini
dicarinya.
Pertemuan malam ketiga itu merupakan
malam terakhir di pulau itu. Sebelum berpisah, sempat Tuah memberi
'cenderamata' kepada lelaki itu. Kata Tun Tuah: ''Wahai cucuku, ambillah keris
ini sebagai tanda pertemuan kita. Jika nanti ada sebarang keperluan, panggillah
yayi!''
Lalu keris yang dihulur itu disambut
penuh hormat lelaki itu. Dicabutnya keris pendek itu dari sarung, lalu dicium,
Dan dimasukkan semula ke sarungnya. Tangan kanannya menggengam erat keris itu
di dada sambil tangan kirinya melambai, sebagai tanda perpisahan mengiringi
langkah pahlawan Melayu terbilang itu melangkah ke gigi air dan kemudian hilang
dalam sayup hening subuh.
Berakhirlah pertemuan tiga harinya
bersama laksamana Melayu terulung di pulau itu. Seminggu bertapa di pulau itu,
ya... lelaki itu akhirnya mendapat jawapan!
Potret inilah yang dikatakan wajah sebenar Hang Tuah
Sambil menunjukkan sekeping potret
lukisan, Datuk Dr. Ibrahim Ghaffar, 63, berkata: inilah wajah Hang Tuah!''
Sekalipun pertemuannya dengan pahlawan
terbilang itu bermula pada hujung tahun 1987, hanya pada tahun 2003 dia
mendapat 'izin' untuk memotretkan wajah pahlawan Melayu terbilang itu.
Lantas, Ibrahim segera ke Langkawi, menemui rakannya Mohd.
Salleh Dawang, yang juga merupakan seorang pelukis yang sering membantu pihak
polis melakar wajah-wajah para penjenayah.
Sambil Salleh melakar di atas kanvas putih dengan sebatang
pensel, Ibrahim pun memberi gambaran rupa Hang Tuah yang pernah ditemuinya.
''Hidungnya panjang dan kembang sedikit. Bibirnya nipis dan
lebar ke tepi. Bentuk wajahnya tidak bujur tapi tidak terlalu bulat. Di antara
kedua-dua keningnya mempunyai lekuk. Keningnya timbul. Bulu keningnya nipis
namun dibentuk seperti batas berlekuk.
''Matanya bulat, lirikannya tajam. Dagunya seperti ada
lapis. Telinganya panjang. Kerisnya terselit di pinggang dan tangannya selalu di
situ. Keadaannya dalam siap siaga,'' panjang lebar gambaran Ibrahim.
Dalam masa 40 minit, Salleh siap melakar gambaran yang
diberi lalu ditunjukkan kepada rakannya itu.
''Astaghfirullah!'' Ibrahim mengucap panjang.
Menggigil tangannya memegang kanvas lakaran itu, Ya! Inilah
wajah Hang Tuah. Benar-benar serupa seperti yang sering ditemuinya.
Salleh sendiri turut merasa aneh. Sewaktu melakar potret
itu, tidak sekali pun dia menggunakan pemadan seperti kebiasaan. Tangannya juga
ringan, seolah-olah diarahkan untuk melakar gerakan membentuk rupa tersebut..
Selesai lakaran, tiga hari masa diambil untuk memperkemaskan
potret itu sebelum Ibrahim membawanya pulang. Potret itu disimpan rapi di
rumahnya di Klang, Selangor. Tidak pernah dia berkongsi wajah pahlawan itu
untuk tatapan orang luar.
Hanya pada tahun lalu, barulah wajah Hang Tuah ini
diabadikan pada setem yang dikeluarkan eksklusif oleh Persatuan Sejarah dan
Warisan Melayu Duyong (PESAWAD).
Waktu itu bila ditanya, Ibrahim sekadar menjawab wajah itu
dihasilkan selepas beberapa siri pertemuannya dengan Hang Tuah di alam ghaib.
Tiada perincian lain. Kata Ibrahim, sukar untuk menceritakan perkara yang tidak
mampu diterima logik akal manusia.
Mencari jati diri Melayu...
TIDAK! Ibrahim tidak pernah meminta untuk bertemu Hang Tuah.
Segalanya bermula pada bulan Ogos 1987, sewaktu tercetusnya isu perlembagaan
apabila Karpal Singh hendak memfailkan saman terhadap Sultan Selangor.
Sebagai anak Melayu yang kebal jati diri, Ibrahim bersama
puluhan sabahat yang lain tampil mempertahan kedaulatan raja-raja melayu.
Matlamatnya terlaksana sekalipun dia menanggung akibat, ditahan ISA selama
19hari.
Selepas itu, Ibrahim tekad. Membawa diri ke serata tempat
untuk 'berkhalwat', mengasingkan diri bermunajat kepada sang Pencipta.
Tujuannya hanya satu, mencari kemelayuan dalam dirinya.
Ya Allah, aku mencari diriku, Melayuku. Adakah benar Melayu
ini tuan kepada bumi (Malaysia) bertuah ini? Bantulah aku agar tidak tersesat-
Itulah hajat yang sering dipohon dalam pencariannya.
Lalu dia 'dipertemukan' dengan Hang Tuah, pahlawan terbilang
abad ke-15 yang memberi jawapan terhadap pencariannya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan