Tahukah korang
siapa pelukis dan penciptanya? Dalam komik itu, pelukis terbabit dikenali
dengan nama pena Nasah.
Bakat dan kredibiliti
kartunis yang ada dalam diri Nasah membuatkan Bujal diterima ramai. Malah,
sewaktu di sekolah, guru penulis pernah menjadikan Bujal sebagai contoh
berikutan mesej yang disampaikannya.
Kini komik Bujal
sudah berkubur. Namun, pelukisnya, Nasah atau Sharif Hasan, 58, masih lagi
aktif melukis dan membuat lakaran.
Karyanya kini
terpampang di ruangan Jawi, akhbar Harian Metro serta majalah Pendidik dan
Cahaya terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Namanya mungkin tidak
sepopular Datuk Lat atau kartunis generasi baru seperti Ujang, Gayour dan Aie.
Bagaimanapun, nama Sharif sebaris dengan kartunis lama seperti Rejabhad, Halim
Teh, Wahidi, Mishar dan Raja Hamzah. Sharif mempunyai sentuhan dan gaya
tersendiri dalam menghasilkan kartun.
Kartun dan komik
memang dekat dengan jiwanya ketika dia masih kanak-kanak lagi. Hasil dorongan
gurunya, Yaacob Rais, dia bergiat cergas dalam bidang berkenaan seawal 1969.
Karya pertamanya
tersiar dalam majalah Hiburan sebelum dia mendapat ruangan tetap, iaitu
Renungan Hari Ini di akhbar Utusan Melayu dan Utusan Zaman.
Mulai 1973, Sharif
bekerja dengan syarikat Suarasa yang menerbitkan majalah seperti Bujal, Anak
Rusa Nani dan Rina. Dia kemudian menyertai syarikat penerbitan Raz Studio
sebelum berpindah ke syarikat Graphic Comic pada 1995.
Selain bertugas di
situ, Sharif berkarya untuk beberapa majalah lain seperti Gelihati, Kuntum,
Mingguan Kanak-Kanak, Pelita Rakyat, Gema RTM dan Pemimpin dengan menggunakan
pelbagai nama pena.
Di samping majalah,
karya Sharif tersiar di akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia. Komik Ima dan
Nizam, Pak We Malang dan Gurau Senda mengangkat namanya.
Bukan itu saja,
Sharif juga aktif sebagai penulis ruangan di beberapa majalah seperti Majalah
Filem, Berita Filem, Mastika Filem, Seni, Hiburan, Utusan Filem dan Fesyen.
“Sebenarnya saya dah
nak bersara sejak 1996 lagi sebab keadaan kesihatan tak mengizinkan. Tapi
seorang rakan kemudian mempelawa saya untuk bekerja secara kontrak dengan
Utusan Melayu. Tawaran itu sukar untuk saya tolak dan saya kembali bersemangat
walaupun tak berapa sihat,” kata Sharif.
Kini beliau dalam
perancangan untuk mengumpul koleksi kartun Miau bertulisan Jawi yang disiarkan
dalam Harian Metro dengan sasaran pembaca kanak-kanak.
Menurutnya,
kanak-kanak mudah tertarik dengan watak kartun tanpa mengira apa bahasanya.
Contohnya walaupun kartun itu disiarkan dalam bahasa Inggeris, Kantonis atau
Jepun, mereka tetap menghayatinya dengan penuh imaginasi.
Baginya, penghasilan
buku bergambar dan komik Jawi dapat menarik kanak-kanak untuk meminati tulisan
Jawi. Ini terbukti ketika majalah Bujal yang diterbitkan dengan konsep sebegitu
pada tahun 70-an dan 80-an mencatat jualan yang tinggi berbanding majalah
kanak-kanak lain waktu itu.
“Sekiranya komik
dapat diterbitkan dalam tulisan Jawi berserta watak yang boleh mengkagumkan
kanak-kanak, saya yakin ia boleh menjadi serampang dua mata untuk pendidikan
moral dan jawi sekali gus,” kata Sharif.
Bermula pada tahun
90-an, majalah kartun semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat dan ia
terbukti apabila jualan majalah seperti Gila-Gila, Ujang dan Gelihati begitu
tinggi. Kerjaya kartunis juga semakin dipandang tinggi dan ramai kartunis yang
hidup selesa.
Bagaimanapun, Sharif
berasa penerimaan masyarakat terhadap majalah kartun tidak seperti dulu
berikutan jualan kebanyakan majalah komik merosot, malah ada yang gulung tikar!
“Ini mungkin kerana
kemunculan banyak stesen televisyen yang menyiarkan kartun dan khidmat internet
yang meluas. Tapi, saya juga melihat idea dan persembahan sesetengah kartunis
baru kurang menarik. Mungkin ini juga antara faktornya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan